Menoleh ke belakang lagi, jauh di pelusuk memori semalam.
Kelam.
Namun masih dalam bayangan. Kenangan yang merubah hidup ini
menjadi seperti hari ini. Dulu, tidak siapa mengenali jasad ini, kaku tiada
yang tahu. Kenangan itulah yang merobek lakaran takdirku.
Pertemuan dengannya, gadis berpurdah di bawah langit Gaza.
20 tahun berlalu.
Aku ingat dengan jelas lagi detik-detik pertama pertemuanku
dengannya. Masa itu, aku masih bergelar seorang mahasiswa di universiti Islam
tertua di dunia. Ku ke tebing Gaza untuk merasai sendiri pergolakan dan
kehidupan orang Palestin di sana. Waktu itu, umurku 24 tahun. Sanah terakhir di
universiti.
Tahun 1996. Tiga tahun selepas berakhirnya gelombang
Intifada Pertama 1987-1993). Beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihanraya
pertama presiden di Palestin, 20 Januari. 97 peratus dari 1,028,280 rakyat
Palestin keluar mengundi. Natijahnya, Yasser Arafat mengalahkan Puan Samiha
Khalil atau Umm Khalil, seorang wanita yang hebat. Tak perlu diceritakan lagi
tentang Arafat, semua orang sudah maklum.
Ringkas cerita tentang Umm Khalil, beliau adalah pengasas
'Al-Inaash al-Usra' (Society for the Support of Family) di garajnya hingga ia
menjadi sebuah pusat kebajikan terbesar yang paling efektif di Palestin dan
masih wujud hingga kini. Tahun 1980-an, beliau pernah ditahan Israel Defence
Force (IDF) sebanyak 6 kali. Namun, parti beliau ini secara umumnya adalah parti
demokratik ala sekular yang cuma mendapat tempat minoriti di kalangan rakyat. Poin di sini, walaupun parti
berlainan, semangat perjuangan itu ada dalam membela kebajikan rakyat. Tidak
seperti pemimpin yang ada di zaman sekarang, majoriti naik untuk memperjuangkan
kepentingan diri sendiri. Nak untung, nak kaya, nak kuasa.
Waktu itu,
masih ramai ulama' yang masih hidup. Pejuang unggul serikandi Ikhwanul
Muslimin, Zainab Al-Ghazali masih ada. Syeikh Muhammad Al-Ghazali yang terkenal
sebagai ulama' haraki, guru Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dan mufassir tafsir
Al-Quran secara tematik pun masih hidup hinggalah beliau meninggal pada 9
haribulan Mac tahun 1996. Perintis-perintis perjuangan Hassan Al-Banna.
Aku singgah di Inaash. Masa tu ada program mengajar
budak-budak bawah 7 tahun. Kekurangan guru. Jadi, aku menawarkan diri untuk
jadi tutor sementara dalam seminggu begitu aku bermusafir di sana. Ku curahkan
ilmu-ilmu agama asas yang ku pelajari di Al-Azhar. Bacakan pada mereka
sirah-sirah Nabawi. Budak-budak lebih suka mendengar cerita dan aku dapati
kanak-kanak Palestin ini sama saja sifat keanak-anakan seperti kanak-kanak di
Malaysia. Cumanya, dalam diri
mereka ada semangat perjuangan dan sangat patriotik.
Masuk hari
ketiga aku mengajar di situ, ada seorang guru lain tampil untuk mengajar Ilmu
Hisab atau Matematik. Seorang wanita berpurdah. Fasih arab dalam slanga daerah
Palestin. Selepas sesi pengajaran, aku ada cuba berbicara dengannya dalam
Bahasa Arab Ammiyyah. Namun, dia tak suka aku bercakap dalam loghat daerah. Dia
kata, lebih gunakan Bahasa Arab standard. Aku akur. Hari demi hari, kami makin
rapat. Namun, tidaklah melebihi batas.
Akhirnya,
tibalah harinya, aku kena berangkat keluar dari bumi tarbiyah Palestin, kembali
ke Mesir. Rasa di dalam dada sudah membuak. Gejolak jiwa dan darah muda. Aku
mengucapkan selamat tinggal dan berpelukan dengan kanak-kanak di situ dengan
isak tangis, sungguh tak sangka mereka ini telah menganggapku seperti keluarga
sendiri. Manis ukhuwwah yang terjalin atas dasar agama.
Aku pergi
mendapatkan gadis berpurdah itu. Meluahkan hasrat hati. Dia menyatakan
dia tidak menolak hasrat hatiku. Kerana dia juga ada merasakan yang sama.
Senang dengan diriku. Berbunga-bunga rasa seperti yang ku rasakan. Dia cuma
menyampaikan pesanan, seandainya ada jodoh, percaya dan yakin pada janji Tuhan,
andai telah dititipkan di Lauh Mahfuz kami bersama, pasti akan bersama.
Aku pulang. Zaman itu tidak ada henfon, tidak ada Whatsapp
seperti sekarang. Berutus surat.
Ku cuba utuskan surat dari bumi Mesir ke sana, namun tidak
berjawab. Ku fikir, mungkin kerana pergolakan yang berlaku menyukarkan segala
jenis perhubungan. Berbulan kemudian, aku habis belajar dan kembali ke bumi
Malaysia dengan seribu kenangan.
Serta cinta yang tidak kesampaian.
Hampa.
Sesampainya di tanah air, aku disatukan dengan gadis aturan
keluarga. Anak kenalan ayahku. Aku ikut saja. Pada aku, hati dah tertinggal di
bumi Palestin sana. Pernikahan ini atas dasar sunnah dan tanggungjawab. Amanah.
Kata orang tuaku, lebih senang ada orang yang boleh menjaga makan dan minumku
sementara aku menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah terkemuka di negeri
sendiri. Lebih menjaga imanku.
Aku tidak membantah. Isteriku juga seorang yang tidak banyak
songeh. Menurut perintahku dan senang bawa berbincang dalam apa jua urusan. Dua
puluh tahun hidup bersama, aku boleh kata, isteriku ini tiada celanya. Andai
ada anugerah tahunan isteri mithali, akan ku calonkan namanya setiap tahun. Beza umurku dengannya lima tahun.
Namun,
semenjak dua menjak ini. Aku mulai berubah hati. Gara-gara suatu hari, aku
melawat sebuah pusat kebajikan. Memang kegemaranku saban tahun untuk menziarahi
dan memberi bantuan apa yang patut. Biasanya, aku pergi ke tempat-tempat begini
berseorangan.
Hatiku
digugat hebat apabila ku bertemu wanita berpurdah mirip dengan gadis yang ku
cintai di Palestin 20 tahun dulu. Kenangan lama terimbas kembali. Aku
mulai mengunjungi pusat kebajikan itu makin kerap. Dari sekali sebulan ke
sekali seminggu. Tujuanku sebenarnya adalah untuk mendekati wanita itu. Apatah
lagi, bila dia merupakan tenaga pengajar sambilan hujung minggu di pusat itu
dan subjeknya adalah Bahasa Arab. Akhirnya aku sempat berbicara dengannya dan
Ya Allah, sungguh mirip sekali. Saling tak tumpah.
Dalam umur awal 40-an sebegini, aku jatuh cinta lagi. Kalau
bukan pada tuan asalnya, dengan kembarnya di Malaysia pun jadilah. Selama aku
bernikah, aku cuma menyayangi. Tidak mencintai. Bunga-bunga cinta tidak terbit
mewangi dalam rumahtangga sendiri. Ku akui. Hati ini tidak mampu berdusta lagi.
Aku nak kahwin dengan orang yang ku cintai! Aku tekadkan
hati. Berkira-kira untuk melamarnya tak kiralah apa yang terjadi. Akan ku
redahi!
Mulailah perangaiku di rumah berubah. Aku tidak mempedulikan
isteriku dan anak-anak. Dah besar, pandai-pandailah jaga diri dengan didikan
penuh yang telah ku berikan. Isteriku mulai menyedari perubahanku.
Suatu
malam.
"Abang
nak nikah lagi. Abang tak mahu berselindung. Terus-terang."
Reaksi isteriku tampak tenang. Namun, air matanya ku lihat
menuruni pipi mulusnya.
"Abang tahu, mesti awak akan kata sebagaimana isteri
orang lain, 'kalau nak kahwin lagi boleh, tapi ceraikan saya kan?"
Namun, isteriku menggelengkan kepalanya. Dia duduk di
sebelahku sambil memegang
tanganku.
"Abang, kita sudah lama bersama. Saya pun bukan lagi
seorang gadis. Dah jadi wanita yang menginjak usia. Dah makin tua. Mekap pun
tidak berjaya menyembunyikan garis-garis tua yang mulai timbul satu persatu di
wajah. Fizikal tidak lagi bergetah sebagaimana layaknya seorang gadis sunti.
Saya izinkan abang kahwin satu lagi.
Namun, abang kena janji, usah abaikan saya dan anak-anak.
Saya mohon, bahagikan kasih seadilnya."
Aku sendiri menitiskan air mata mendengarkan kata-kata yang
terluah dari bibir isteri sendiri. Ya Rabb, moga Engkau berikan Syurga teratas
kepada isteriku ini kerana aku reda kepadanya seluruhnya. Sungguh dia isteri
unggul.
Ku percaya, pahit akan manis akhirnya hidup berkongsikan
satu hati lelaki. Kalau tidak, pastinya Sang Pencipta tidak mengesyorkan
langsung di dalam Al-Quran bab poligami. Masakan para Nabi ramai isteri.
Meski air mata mengiringi izin yang diberi, hati ini terus
kental. Hajat di hati sedikit pun tidak goyah untuk memperisterikan wanita
berpurdah itu.
Isteriku itu rela melepaskanku.
Melepaskanku dari hanya menjadi satu-satu miliknya.
Minggu seterusnya.
Aku ke pusat kebajikan seperti biasanya. Langkah ini makin
laju. Rasa dalam hati makin padu.
Ku temukan wanita berpurdah itu sedang duduk-duduk di kafe.
Termenung.
Ku dekatinya. Minta izin untuk sertai.
Di situlah ku luahkan segalanya padanya. Ku nyatakan hasrat
untuk menjadikannya surihatiku yang kedua.
"Saya pun suka awak."
Itulah kata-kata pertama yang terpacul dari bibirnya yang
terhijab dengan kain purdah.
Aku bagai nak melompat kegembiraan. Bagai kembali
muda remaja yang baru masuk ke alam fana cinta.
Namun, ayat seterusnya meruntunkan kalbu ini.
"Tapi, saya dah kahwin. Saya tak nak menduakan suami
saya. Dialah cinta pertama dan terakhir saya."
Aku tak puas hati dengan jawapannya.
"Awak dah suka saya. Saya pun suka awak. Kalau awak
cintakan suami awak, perasaan suka ini takkan timbul! Bermakna, awak lebih
cintakan saya!"
Wanita itu tunduk. Perlahan-lahan, dia membuka purdahnya. Lalu bertutur dalam Bahasa Arab fasih.
"Saya
cintakan suami di depan saya ni selamanya. Sayalah wanita yang jatuh cinta
dengan suami saya di bumi Palestin. Sayalah wanita yang bernikah dengannya di
Malaysia. Sayalah wanita yang sama memberikan izin kepada suami saya ini untuk
bernikah lagi dengan pilihannya."
Aku tergamam. Hilang kata-kata. Sebiji dengan intonasi si gadis purdah Ghazzah.
Rupanya,
dia gadis dari Malaysia, mengikut delegasi ayahnya ke Palestin dulu. Kemudian,
balik ke tanahair, nyatakan hasrat untuk disandingkan denganku. Ayah mertuaku
itu bukan kenalan ayah. Namun, dicari ayahku di kampung dan berkenalan lebih
lanjut demi menuruti kemahuan anak gadisnya.
Dia di pusat kebajikan ini bukan selalu. Hujung minggu.
Waktu-waktu yang sama aku keluar ke rumah kebajikan lain, isteriku ini datang
ke sini, mengenakan purdah untuk tidak diketahui identitinya.
Subhanallah!
Malunya aku tak terkata. Tak tahu nak sorok muka di mana. Malu dengan perangai dan sikapku.
Malu terburu nafsu semu.
Isteriku dengan tenang meraih tanganku. Air matanya tumpah
lagi.
"Abang, pertama sekali maaf datang ke sini tanpa izin. Abang, saya tak marah. Kerana orang yang abang cintai dan
ada di dalam lubuk hati selama ini adalah orang yang sama. Isteri abang. Bukan
wanita lain."
Aku menangis teresak-esak di kafe itu. Tak peduli lagi mata
yang memandang.
Aku bersyukur ke hadrat Ilahi.
Dia selamatkanku dari menjadi lelaki yang tak pandai
menghargai. Bak kata serikandi mulia Zainab Al-Ghazali dalam petikan
kata-katanya terhadap suaminya:
"..Hendaknya antara kita dibina rasa saling
percaya..."
"..Allah SWT dalam diriku lebih besar dari diri kita
dan panggilan-Nya (jihad dan dakwah) terasa lebih agung.."
Sentiasa utamakan agama mengatasi segala rasa syahwat yang
ada dalam jiwa.
Lihatlah semua sisi baik isteri yang satu itu dulu, sebelum
menambah lebih dari satu. Kerana kalau bukan dia yang terbaik untukmu, tidak
mungkin Allah menjodohkanmu dengannya awal-awal lagi.
Usah terlalu tamak nakkan bahagia dunia.
Sifatnya pasti sementara.
Usah mengejar bahagia yang belum pasti.
Teruslah didik diri lebih menghargai.
Karya : Muhammad Rusydi
^_^
***
Nak copy ke apa ke, minta izin naa dan berikan kreditasi
kepada penulis.
*pemenang mukadimah cerpen: kredit to..Ibnu Safir ^_^