artikel dipetik daripada laman web ukhwah,,
"PEMBAHAGIAN MANUSIA YANG ROSAK
Imam Ghazali telah membahagikan manusia yang rosak kepada empat tingkat dalam usaha menghadapi pembaikan budi pekerti mereka iaitu sebagaimana berikut :
Pertama:
Manusia yang lalai dan bodoh (ghuful ) yang tidak dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah, antara yang indah dengan yang buruk. Golongan ini menurut beliau adalah golongan yang mudah diperbaiki. Mereka hanya memerlukan seorang guru yang dapat memberikan tunjuk ajar dan juga menyedarkan mereka untuk mengikuti kembali ajaran yang baik.
Kedua:
Manusia yang tahu tentang keburukan sesuatu perkara namun mereka belum mempunyai kesanggupan untuk mengerjakan sesuatu kebaikan bahkan perbuatan jahat terus menarik dirinya sehingga mereka buta dalam mengikuti keinginan hawa nafsu dan mereka melupakan fikiran yang benar. Mendidik orang macam ini lebih susah daripada mendidik golongan pertama tadi kerana dasar yang mendorong dia berbuat kejahatan tidak hanya satu tetapi dua. Pembaikan harus dilakukan dengan dua usaha iaitu yang pertamanya menghilangkan daripada dirinya kebiasaan yang tidak baik sehingga ke akar umbi. Keduanya membiasakan dia melakukan pekerjaan yang baik dan berfaedah.
Ketiga:
Manusia yang mempunyai keyakinan bahawa yang jahat itu baik dan indah baginya. Golongan ini sukar diperbaiki di mana jika dapat melakukan sesuatu yang dapat mengubah keyakinanya semula adalah jarang dan sedikit disebabkan kejahatannya sudah bertambah.
Keempat:
Manusia yang tidak sahaja mempunyai keyakinan yang rosak dan biasa terdidik dengan kelakuan jahat tetapi cara berfikirnya telah lebih meningkat daripada itu dengan menganggap suatu keutamaan mengerjakan pekerjaan yang ahat dan maksiat yang dapat merosakkan dirinya sedangkan dia terus berpendapat bahawa perbuatannya itu dapat mengangkat dan menyelamatkan dirinya. Golongan ini amat sukar dihadapi sebagaimana pepatah mengatakan : " Adalah suatu siksaan bagi mereka yang ingin mendidik seekor serigala berlaku sopan- santun dan yang ingin bersusah payah mahu mencuci pinggan hitam supaya putih".
Imam Ghazali menamakan golongan pertama orang yang jahil, golongan kedua orang yang jahil dan sesat, golongan ketiga orang yang jahil, sesat dan fasik dan golongan keempat orang yang jahil, sesat dan penggemar kejahatan .
PANDANGAN IMAM GHAZALI TERHADAP SYAHWAT
Imam Ghazali tidak bermaksud menghapuskan semua keinginan syahwat dengan membasmi semua sifat yang berasal daripada manusia itu kerana beliau berpendapat bahawa syahwat keinginan itu dijadikan tidak sia-sia. Syahwat keinginan itu ada faedahnya dan begitu diperlukan dalam membentuk tabiat dan budi pekerti seperti seseorang manusia sekiranya hilang keinginan untuk makan makan dia akan mati kelaparan. Begitu juga nafsu amarah jika hilang daripada diri seseorang maka dia tidak mampu membela diri daripada sesuatu yang merosakkannya.
Sebaliknya jika syahwat keinginan dilepaskan semahu-mahunya maka sudah pasti ia akan merugikan kehidupan yang murni sebagai seorang manusia. Contohnya jika seseorang dengan keinginan syahwatnya kepada harta dilepaskan untuk mencintai harta itu berlebihan daripada kebiasaan maka ini akan membawa kepada kedekut dan nafsu hendak menimbunkan harta kekayaan tanpa sekatan.
Kata Imam Ghazali : " Dalam hal ini sesungguhnya tidak bermaksud memusnahkan semua keinginan itu tetapi yang dikehendaki ialah mengendalikan keinginan syahwat itu kepada taraf yang sederhana di antara keterlaluan dan kekurangan " .
Rujukan
1. Abu Hamid Al-Ghazali ,Al-Munqiz min Al-Dholal, semakan Abdul Mun’im al-‘Ani, Al-Hikmah, 1994
2. Imam Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, Dar al-Khari,cetakan kedua 1993
3. Prof. Dr. Hj. Aboebakar Atjeh, Akhlak Dalam Islam, Pusataka Aman Press, cetakan kedua 1982
3 comments:
Post a Comment