Aurat wanita dengan kanak-kanak
Anak kecil- thiflu, ialah anak lelaki yang belum baligh, yang belum mengerti tentang wanita dan auratnya.
oleh itu, mengenai aurat wanita dengan kanak-kanak lelaki, adalah dibolehkan untuk membuka aurat wanita di hadapan kanak-kanak yang belum baligh ( belum tahu tentang aurat wanita). tetapi kalau mereka telah baligh atau hampir baligh, dan kira-kira dapat membezakan dan merasakan sesuatu yang indah dan mengghairahkan, maka tidak dibolehkan lagi untuk mereka masuk ke tempat wanita yang tanpa hijab [1]
Aurat wanita muslim dengan wanita muslim.
-Semua anggota di antara pusat dan lutut.
- Haram mendedahkan anggota antara pusat dan lutut sesama wanita Islam.
-Tidak haram dedahkan anggota dari pusat keatas dan dari lutut ke bawah.
Batasan aurat antara wanita muslimah dihadapan wanita muslimah adalah sama dengan batasan aurat lelaki dengan lelaki. Walaupun batasan had aurat sesama wanita adalah di antara anggota pusat hingga lutut, ini tidak bermakna wanita sesama muslimah boleh membuka bahagian tubuh yang atas dengan sesuka hati, yang boleh menimbulkan fitnah. Seorang wanita Islam yang beriman mesti menjaga adab dan aurat mereka walau pun sesama muslimah agar diri aman dari fitnah.
Aurat Wanita Muslimah dengan Wanita Kafir
Ulama’ berbeza pendapat dalam masalah ini. 3 pendapat terkemuka dalam masalah ini adalah[2]
-Jumhur ulama’ berpendapat bahawa aurat wanita muslim dengan wanita kafir adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan. Hujah yang dinyatakan oleh para ulama’ ini adalah adalah kebimbangan bahawa wanita kafir itu mensifat dan menceritakan berkenaan wanita muslim kepada lelaki kafir.
-Mazhab Maliki berpendapat bahawa, aurat wanita muslim dengan wanita kafir adalah sama dengan aurat wanita muslim sesama mereka. Iaitu dari pusat sehingga lutut. Al-Maududi telah mensyaratkan agar wanita kafir tersebut mestilah wanita yang berakhlak mulia.
-Pndapat ketiga datangnya dari pendapat Mazhab Syafie yang mengatakan aurat wanita muslim dengan wanita kafir adalah selain dari anggota yang biasa terdedah ketika wanita melakukan kerja-kerja rumah
Aurat Wanita Tua Islam[3].
Perempuan tua yang dimaksudkan di sini adalah wanita yang tua dan tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin dan tiada lagi rangsangan seks samada pada dirinya sendiri, atau pada orang yang melihatnya. Aurat perempuan tua pada dasarnya mempunyai aurat sama seperti perempuan yang muda, iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Namun, bagi wanita yang tua (mengikut takrifan yang diberi sebelum ini) telah diberi sedikit keringanan/rukhsah berdasarkan ayat al-Quran :
Maksud: dan mana-mana perempuan tua Yang telah putus kedatangan haid, Yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, Dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; Dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui[4].
Menurut ayat ini, mereka diringankan untuk tidak memakai pakaian luar seperti milaya ( pakaian orang arab) yang menutup pakaian yang dipakai. Para wanita dibolehkan berbuat demikian dengan syarat mereka tidak tabarruj dan memperagakan kecantikan mereka.
Adakah kaki wanita Aurat?
Kaki di sini ialah: mula dari pergelangan kaki, buku lali, tumit, tapak kaki hadapan dan tapak kaki bawah hingga kehujung jari. Masalah kaki aurat ataupun tidak, adalah menjadi khilaf di kalangan ulamak:
- Mazhab Hanafi dan sesetengah Maliki : kaki bukan aurat, kerana kaki termasuk anggota yang dikecualikan dalam ayat:إلا ما ظهر منها , semuanya dikira anggota zahir. had kaki ialah sehingga buku lali sahaja. Walau bagaimanapun, sebahagian Maliki mengatakan kaki adalah aurat.
- Mazhab Syafi`e : kaki aurat, kerana aurat dalam dan luar solat adalah sama.
- Imam Ham bali : kaki aurat, berdasarkan hadis:
عن ام المؤمنين ام سلمه رضىالله عنها قالت: اتصلي المرأة في درع وخمار وليس عليها إزار؟ قال: نعم إذا كانت سابغا تغطى ظهور قدميها
Maksud hadith: Dari ummul mukminin Ummu Salamah r.a katanya: aku bertanya kepada Nabi saw, “bolehkah wanita solat memakai dira’ (gaun panjang), dan khimar (tudung) tanpa izar (sarung)?. Baginda menjawab, “boleh, apabila gaunnya cukup menutupi aurat sehingga ke hujung kaki”. (Riwayat Abu Daud)
Menurut mazhab syafie, kaki adalah aurat sepertimana di dalam solat. Ini kerana apabila seorang wanita itu solat, wajib melabuhkan kain sembahyang sehingga menutup kaki. Apabila terbuka auratnya ketika solat, dan dia mampu menutupnya kembali tetapi tidak berbuat demikian, solatnya terbatal dan wajib diulangi solat semula.
Mengenai pandangan imam hanafi, yang mengatakan kaki itu tidak aurat, adalah kerana kaki itu diqiyaskan sama seperti muka dan kedua tapak tangan yang zahir dilihat. Mengikut mazhab hanafi, ketika solat, tapak kaki adalah aurat, ertinya, seseorang wanita itu sah solatnya jika telapak tangan dan bahagian belakang kaki terbuka, tetapi batal solat jika bahagian belakang tangan dan telapak kaki terbuka, harus diulangi solatnya.[5]
Dalam permasalah aurat kaki di rumah, pula, dalam Al-Mufassal Dr Abb Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya: “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, ms.198)
Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya tersebut ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya.[6]
Dalam hal, tetamu yang datang berkunjung ke rumah, adalah lebih baik jika dapat diusahakan untuk ditutup kaki tersebut dengan apa cara sekali pun, samada dengan memakai stokin atau pun melabuhkan pakaian / kain hingga menutupi kaki tersebut. Ini kerana tidak ada sebarang masyaqqah (kesukaran) yang menjadi penghalang daripada menutup kaki tersebut, yang mana berbeza keadaannya dengan wanita yang menguruskan kerja-kerja dapur atau kenduri-kendara yang sememangnya mempunyai masyaqqah yang menyukarkan.
[1] Muhammad Athiyah Khumais, ( 2007) Fiqh Wanita, , edisi terjemahan, Wholesale-mart business poin sdn. Bhd, Selangor, hlmn 227
[2]Alias Othman, Dr Anisah Ab. Ghani (2008), Islam yang Mudah, Selangor : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., hlmn 8-9.
[3] Ibid., hlmn 12-13.
[4] Surah An-Nuur 24 : 60
[5] Muhammad Athiyah Khumais, (2007) Fiqh Wanita, edisi terjemahan, Wholesale-mart business poin sdn. Bhd, Selangor, hlmn 213
3 comments:
bagus la post ni sera :)
take care.
salam.
Salam, kat mana bole bli buku nie??? any suggestion kedai mana?
wassalam muzz..
dulu saya beli ni di fakulti tempat saya belajar...
saya rasa buku ni boleh jumpe kat kedai2 buku islamic/kedai2 buku umum..
masjid jamek ade.. kat deretan kedai2 buku..
specifcally saya x sure kedai mana, nama kedai apa..
Post a Comment