Saturday, October 24, 2009

Bahaya BerTUHANkan Bintang- Believing in Stars??



Kalau biasa kita gempar dengan orang yang memilih untuk tidak taat dan patuh pada Tuhan Maha Esa, satu-satunya Tuhan sekelian alam dengan cara keluar daripada Islam. Saya tidak dapat lari daripada kerisauan juga pada satu kerosakkan yang halus dan jarang disedari seorang Muslim. Saya pernah menyelak senaskah majalah golongan remaja yang dibeli adik saya dan masih menemui ruanganya.


Jati diri Muslim yang tidak terbina, ditambah lagi mudaratnya apabila diselitkan pula unsur yang berbahaya. Bahaya melebihi segala bahaya, kemudaratan pada aqidah. Pembaca yang merasakan diri mereka penganut Islam tanpa memahami apakah makna Islam itu sendiri paling mudah terjerumus ke dalam perangkap tersebut. Apakah kita benar Muslim?


Muslim bermaksud seorang yang Islam. Islam pula bererti seorang itu menyerah diri, patuh terhadap segala suruhan Allah Subhana wa Ta’ala dan menghambakan diri kepada-Nya. Seorang yang Islam bukan sahaja tidak menyembah dan menjadi hamba kepada selain daripada Allah Subhana wa Ta’ala. Malah seorang yang Islam tidak akan meletakkan Allah Subhana wa Ta’ala sama taraf dengan makhluknya atau meletakkan makhluk-Nya seiring dengan taraf Allah Subhana wa Ta’ala. Seorang yang Islam juga tidak akan secara langsung atau tidak langsung menyatakan makhluk ciptaan-Nya mampu melakukan tugas-Nya.
Itulah kriteria Islam, dan mereka yang melaksanakan kriteria tersebut disebut Muslim. Namun menyedihkan, ramai Muslim hari ini dalam tidak sedar melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang mengaku dia menghambakan diri, taat dan patuh pada Allah Subhana wa Ta’ala. Ramai terjerumus bertuhankan tukang ramal dan berimankan bintang-bintang.



BERHALA HALIMUNAN
Kalau diletakkan berhala di hadapan seorang yang mengaku Muslim mungkin tidak ada yang akan berani sujud menyembah berhala tersebut. Namun jangan terkejut kalau ada dikalangan yang tidak mahu menyembah berhala secara fizikal tetapi tidak merasa berat hati menyembah tukang ramal dan bintang-bintang secara tidak langsung. Bagaimanakah ini terjadi?
Sekitar kita masih ramai orang Islam yang masih ‘mengabdikan diri’ kepada ramalan-ramalan horoskop dan zodiak. Baik melalui tukang-tukang ramal di kaki-kaki lima atau ramalan-ramalan di dalam majalah, internet dan sebagainya. Barangkali ini ada kena mengena dengan sikap manusia yang takut pada sesuatu yang tidak diketahui seperti mana yang ditekankan E.R.W Fox dalam jurnalnya.1
Masa depan merupakan sesuatu yang tidak diketahui bagaimanakah rupa dan bentuknya. Atas sifat penakut yang tidak dapat diatasi itu maka seorang itu cenderung ingin menilik-nilik apakah yang menantinya pada hari-hari atau minggu-minggu seterusnya. Sehingga sanggup melanggar perintah Allah Subhana wa Ta’ala dan secara tidak langsung meletakkan bahawa ada manusia lain yang mampu mengetahui perkara ghaib selain Allah Subhana wa Ta’ala. Walhal Allah Subhana wa Ta’ala sudah berfirman di dalam al-Quran:

لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! [an-Naml 27:65]


Penggunaan ‘La’(tiada) diikuti dengan ‘illa’(melainkan) adalah satu cara menegaskan taraf yang istimewa dan ekslusif. Menjelaskan hanya Allah Subhana wa Ta’ala sahaja yang mampu tahu tentang hal ghaib. Maka sesiapa yang mengakui mengetahui hal-hal ghaib atau ada makhluk lain mengetahui hal-hal ghaib maka ia dikira tidak mengimani wahyu dari al-Quran.
Saya percaya, merasakan bintang-bintang mampu memberi kesan kepada kehidupan manusia ada hubung kait dengan kepercayaan purba bahawa bintang-bintang itu merupakan tuhan-tuhan. Kepercayaan bahawa bintang-bintang sebagai tuhan-tuhan dijelaskan Tamsyn Barton dalam bukunya mengenai astrologi purba:


For most school of thinkers, the stars' divine nature was self-evident. Indeed, their motion was difficult to explain if it was otherwise. The Epicureans, who denied that the heavenly bodies were divine, were forced to explain their movements by gusts of wind. In this case, their depiction of a universe of atoms in random motion was hard to substantiate, and regularity of the planets' motions was frequently cited by those who wanted to argue for a divinely ordered cosmos.2

Maka apakah tidak benar perkara ini bagaikan berhala halimunan? Menilik-nilik rezeki, masa depan, cinta dengan bintang. Sekalipun bukanlah perbuatan menyembah bintang-bintang atau tukang ramal tetapi ianya secara tidak langsung melakukan perbuatan menyamatarafkan makhluk dengan Allah Subhana wa Ta’ala dalam mengetahui perkara-perkara ghaib dan mempraktiskan amalan berunsur syirik!

Peminat kepada ramalan horoskop dan zodiak atau berjumpa tukang tilik sebenarnya sedang cuba-cuba memilih jalan mudah kononnya. Jalan mudah dengan harapan bahawa mereka dapat mengintai rahsia takdir, lari darinya atau mengubahnya. Ini ternyata perbuatan sia-sia. Bukankah Allah Subhana wa Ta’ala, Tuhan yang Mengetahui setiap perkara ghaib telah berfirman:

قُل لاَّ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلاَ ضَرًّا إِلاَّ مَا شَاء اللّهُ
وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا
مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَاْ إِلاَّ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.[al-A’raf 7:188]




MENILIK HOROSKOP DAN ZODIAK
Menggunakan bintang-bintang untuk tilikan dilarang keras di dalam Islam. Selain dalil-dalil yang sudah disebutkan di atas. Terdapat dalil-dalil lain juga dalam menyatakan hal ini. Terutama sekali tentulah perbuatan meramal nasib itu sendiri merupakan kesalahan yang boleh membawa syirik dalam Islam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ليس منا من تطير أو تطير له ، أو تكهن أو تكهن له ، أو سحر أو سحر له

Bukan dari golongan kami sesiapa yang merasa sial atau meminta diramalkan kesialannya atau merenung nasib atau minta ditenungkan atau mensihirkan atau meminta disihirkan.3

Dalam hadis yang lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



من أتى كاهنا أو عرافا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على
محمد صلى الله عليه وسلم

Barangsiapa mendatangi tukang ramal atau dukun lalu dia membenarkan apa-apa yang dikatakan maka sungguh dia telah kafir terhadap apa yang telah diturunkan kepada Muhammad.4

Bagaimana pula sekiranya sekadar suka-suka. Tidak semestinya percaya pada ramalan. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan amaran:

من أتى عرافا فسأله عن شيء لم تقبل له صلاة أربعين ليلة

Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.5

Hikmah larangan menilik suka-suka sekalipun tidak percaya, adalah kerana ianya membuka ruang kepada kita untuk terjerumus mempercayai tilikan. Sekiranya seseorang individu membaca tilikan kononya dia akan berjumpa pasangan hidupnya pada minggu-minggu tertentu, sekiranya Allah Subhana wa Ta’ala mentakdirkan dia bertemu dengan seorang yang memikat hatinya, tentu secara tidak langsung hatinya akan terdetik bahawa benarlah ramalan tersebut.
Dalam hal berkenaan menilik nasib dengan bintang pula, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

من اقتبس علما من النجوم اقتبس شعبة من السحر زاد ما زا

Barangsiapa yang mengambil sebahagian daripada ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah menambil sebahgian daripada sihir. Setiap kali bertambah ilmu bintangnya maka bertambah pula ilmu sihirnya.6




PERBEZAAN RAMALAN CUACA DAN RAMALAN NASIB
Mungkin ada yang tertanya pula, bagaimana pula ramalan cuaca, musim, gerhana dan sewaktu dengannya. Bukankah itu juga merupakan ramalan? Perlu jelas di sini bahawa ramalan yang ditegah Islam adalah ramalan terhadap hal-hal ghaib yang hanya Allah Subhana wa Ta’ala ketahui seperti rezeki, jodoh, musibah, kematian dan yang sewaktu dengannya. Kesemua ini tidak sama sekali dapat dihitung secara fizikal.
Adapun ramalan terhadap cuaca, musim dan yang sewaktu dengannya bukanlah perkara ghaib. Ianya mungkin ‘ghaib’ bagi yang tidak memahami ilmu sains. Sedang ianya tidak lain adalah berdasarkan pengetahuan keatas sunatullah yang sudah tetap hukumnya. Maka atas sebab itu ianya boleh dihitung dan dicongak.
Contohnya, pekerja A mampu membungkus 300 buku roti satu jam. Waktu sekarang adalah 12.30 tengah hari. Maka pada pukul 2.30 petang berapa buku roti akan siap A bungkus? Ianya tentu boleh diramal bahawa pekerja A akan siap membungkus 600 buku roti pukul 2.30 petang nanti. Ramalan sebegini tidaklah termasuk ramalan yang syirik.
Contoh berikutnya, pekerja A lahir pada tahun 1985. Beliau sudah hidup selama 22 tahun. Maka pada ketika umur berapakah beliau akan mati? Tentu tiada kiraan yang boleh dibuat untuk mengetahui tarikh kematiannya kerana kematian termasuk perkara ghaib yang tidak dapat dicongak. Seperti juga jodoh, rezeki dan lain-lain.
Begitulah perbezaan antara ramalan yang bersifat kira-kira dengan ramalan terhadap perkara ghaib. Mungkin akan lebih jelas lagi setelah difahami apakah perbezaan ilmu astrologi dan astronomi.



PERBEZAAN ASTROLOGI DAN ASTRONOMI..



Astrologi bermaksud:


noun the study of the movements and relative positions of celestial bodies and their supposed influence on human affairs.7
Dalam pejelasan maksud diatas jelas menyebut bahawa astrologi adalah kajian terhadap bintang-bintang dan pengaruhnya terhadap kehidupan manusia dan tentu sekali ini melibatkan takdir. S.J Tester menjelaskan bahawa astrologi boleh dibahagikan kepada dua. Astrologi 'keras' dan 'lembut'.
Astrologi keras membolehkan ramalan yang ampuh dilakukan terhadap sesuatu kejadian atau tindakan yang 'tertulis di dalam bintang-bintang'.8 Ternyata astrologi melibatkan ramalan nasib (yang merupakan perkara ghaib) melalui bintang-bintang.


Manakala astronomi pula dihuraikan bermaksud:



noun the science of celestial objects, space, and the physical universe.9
Jika dilihat daripada maksud astronomi pula, boleh kita ketahui bahawa astronomi adalah kajian terhadap sunatullah atau ‘divine law’ angkasa raya. Astronomi adalah sains pemerhatian dimana kita cuba menggabungkan kesemua cebisan-cebisan data yang dapat diperolehi melalui pemerhatian (ke ruang angkasa) dalam rangka melakukan sesuatu yang termampu dengan maklumat yang terhad.10
Anton Pannekoek menjelaskan astronomi merupakan keperihatinan terhadap fenomena di angkasa yang akhirnya menjadi keperluan. Apabila kaum nomad atau nelayan mula menjadi peniaga yang merantau maka mereka memerlukan 'petunjuk arah'. Maka digunakan segala objek di angkasa. Menggunakan matahari di siang hari dan bintang-bintang di waktu malam. Selain itu keperluan untuk mengira masa, mengira tarikh dan musim juga menyebabkan pemerhatian lebih diberikan terhadap fenomena di ruang angkasa.11
Apabila jelas perbezaan dua jenis ilmu tersebut yang kelihatan hampir sama, maka kita boleh faham mengapa Islam mengharamkan astrologi dan meraikan ilmu astronomi.



KEMBALI KEPADA ISLAM
Maka saya mengajak saudara se-Islam saya yang masih gemar membaca ramalan-ramalan horoskop dan zodiak atau yang suka menilik-nilik nasib. Kembali kepada ketaatan, kepatuhan dan kehambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah Subhana wa Ta’ala. Syirik bukanlah dosa kecil yang boleh dipandang remeh. Ianya satu pengkhianatan. Pengkhianatan terhadap Tuhan yang memberikan kita rezeki dan meminjamkan kehidupan ini. Yang akan menjadi hakim mengadili kita kemudian hari.





>> sumber ini saya ambil daripada berikut:-


alFaisal
Cyberjaya
31 Disember 2007 / 21 Zulhijjah 1428
3.50 pm
http://demipena.blogspot.com






--------------------------------------------------------------------------
1 Fox ERW: Fear of the Unknown. West J Med 1987; 146:759-760
2 Ancient Astrology, Routledge 1994, ms. 111.
3 Dikeluarkan oleh at-Tabrani di dalam Mu'jam al-Kabir - no: 14770; Silsilah al-Ahadis as-Sahihah - no: 2195
4 Dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya dan dinilai Hasan oleh Syu'aib al-Arnouth - no: 9532
5 Sahih Muslim - no: 2230
6 Dikeluarkan Abu Daud - no:3950; Ibn Majah - no: 3726; Silsilah al-Ahadis as-Sahihah - no: 793
7 http://www.askoxford.com/concise_oed/astrology?view=uk
8 A History of Western Astrology, S.J Tester, Boydell & Brewer 1987, ms. 2
9 http://www.askoxford.com/concise_oed/astronomy?view=uk
10 Galactic Astronomy, James Binney dan Michael Merrifield, Princeton University Press 1998, ms. 2
11 A History of Astronomy, Anton Pannekoek, Courier Dover Publications 1989.

2 comments:

Saffa Nadiah said...

YA Karimm...~ xtahu la pulak. dah tu yang ramalan cuaca tu kita xboleh amalkan la ek? sbb it's a bit important when it comes to a situatin when we have to use ramalan cuaca tuh kan. so mcam...ntah la. hehe

+AnamuSafir+ said...

salam nadiah. kalo ramalan cuaca tu boleh.. hee.. baca sampai habis ye artikel tu :-)